Menyingkap Kebenaran ‘KEHARUSAN’ Dan Hukum Mengadakan Kenduri Arwah Berdasarkan Kitab-Kitab Pondok


Sudah menjadi lumrah kepada orang melayu beragama Islam di tanah air kita, apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, maka ahli keluarga si mati itu akan menyediakan makanan. Pada kebiasaannya, ahli keluarga si mati akan memasak dan menyediakan makanan mengikut bilangan orang yang hadir menyembahyangkan jenazah atau mengikut jumlah orang yang terlibat memberi pertolongan menguruskan si mati, termasuk penggali kubur dan sebagainya.

Kemudian pada malam pertama hingga malam ketujuh diadakan majlis tahlil arwah kepada si mati, dan sesudah majlis, ahli keluarga si mati akan menghidangkan makanan kepada jiran dan para jemaah yang hadir mengikut kadar kemampuan masing-masing. Manakala pada malam ketiga, ketujuh, kedua puluh, keempat puluh, dan keseratus pula, pada kebiasaannya akan dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan yang enak-enak. Kemudian, setiap malam jumaat selepas hari ketujuh hingga hari keempat puluh atau kadang-kadang sehingga hari keseratus, diadakan lagi majlis tahlil arwah, dan seusai tahlil akan dihidangkan pelbagai hidangan dan masakan oleh ahli keluarga si mati.

Pendek kata, menjamu makanan selepas berlaku kematian telah menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh keluarga si mati, sama ada mereka terdiri dari golongan yang kaya atau kurang berada. Bahkan jika tidak dilakukan, nescaya mereka akan dicemuh oleh jiran tetangga, kaum kerabat, dan sahabat handai. Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak mengikut adat resam turun-temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat. Pelbagai tuduhan dan cemuhan dilemparkan kepada ahli keluarga si mati yang tidak mengikut adat tradisi itu. Umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati atau juga dikatakan mereka *seperti mengambus batang pisang* (**ungkapan yang paling terkenal di negeri Kelantan) dan sebagainya.

Itulah antara ungkapan yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi tersebut. Sebahagian besar dari kalangan umat Islam menganggapnya dari ajaran Islam yang penting yang tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang-orang yang berpengetahuan agama, sama ada dari lepasan madrasah-madrasah pondok atau lepasan sekolah-sekolah arab/agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu akan dilabelkan sebagai ‘wahabi’ atau kaum muda yang hendak merosakkan ajaran Islam.

Zaman kini sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam semakin dilupakan iaitu jiran tetangga memberi makanan kepada keluarga si mati, sebaliknya yang berlaku ialah jiran-jiran serta kerabat pula berkumpul di rumah keluarga si mati dan mendapat makanan daripada keluarga si mati tersebut. Oleh sebab itu, usaha memurnikan semula sunnah yang kian dilupakan oleh masyarakat adalah sangat perlu. Jika tidak akan berterusanlah masyarakat dalam keadaan tidak tahu yang manakah sunnah dan yang manakah yang ditokok tambah (bid’ah).

Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda: “Bagaimanakah keadaan kamu nanti? Apabila kamu diselimuti fitnah, dalam riwayat yang lain Apabila kamu diselimuti bid’ah, golongan dewasa menjadi tua dalam keadaan tidak tahu, dan kanak-kanak membesar dalam keadaan tidak tahu. Orang ramai menjadikannya (bid’ah) suatu sunnah, dan apabila ditinggalkan mereka akan bertanya: “Mengapa sunnah itu ditinggalkan?” Para sahabat lalu bertanya: “Bilakah berlakunya peristiwa itu?” Baginda menjawab: “Apabila kematian ulama-ulama kamu, ramainya pembaca Al-Quran (yang hanya membaca tanpa mengamalkan isinya), sedikitnya ahli Fiqh (Fiqh As-Sunnah), ramainya pemerintah (yang memerintah tidak berpandukan hukum Allah), sedikitnya orang yang amanah, manusia mencari keuntungan dunia dengan amalan akhirat (di atas nama agama), dan Islam dipelajari (didalami) bukan kerana mencari keredhaan Allah.”

[Hadis Riwayat Ad-Dailami (1/64) dengan dua isnad: sahih dan hasan, dan Riwayat Al-Hakim (4/514)]

Semoga tulisan ini menyelesaikan perbincangan masalah perselisihan yang tidak berkesudahan ini, dengan harapan semoga masyarakat kita khususnya ‘alim ‘ulama dan cendekiawan Islam dapat menilai siapakah di pihak yang benar dan siapakah yang berada di pihak yang kabur dalam masalah yang dinyatakan, sekaligus memberi manfaat kepada mereka yang mahukan agama Islam secara syumul dan menyeluruh, asli dan tulen serta terhindar dari penambahan-penambahan yang tidak sepatutnya demi menjaga dan mempertahankan kesucian dan kemurnian agama, insyaAllah.

Jarir bin Abdullah radhiallahu ‘anhu berkata: “Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli keluarga si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian.” [Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih]

Hadis di atas menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli keluarga si mati dan memakan makanan yang dimasak dan disediakan oleh ahli keluarga si mati adalah sebahagian dari perbuatan ratapan kematian, dan ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah yang hukumnya adalah haram sebagaimana yang dimaklumi.

Imam Asy-Syafi’ie rahimahullah berkata: “Aku suka jiran si mati atau orang-orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Kerana itu adalah sunnah dan ingatan yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang terbaik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka.” “Aku benci diadakan ‘ma’tam’ iaitu perhimpunan walaupun tidak ada ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan membebankan tanggungan.”

[Al-Umm, juz 1, m/s 278-279]

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Jika ahli keluarga si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpun mereka kepada makanan itu, maka ianya tidak ada sandaran riwayat yang boleh dipegang sedikit pun, dan perbuatan itu bid’ah yang tidak disukai. Berdalil dengan hadis Jarir bin Abdullah radhiallahu ‘anhu: “Kami mengira perhimpunan kepada ahli keluarga si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian.”

[Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, juz 5, m/s 286]

Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatoni rahimahullah berkata: “Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu haramkah atau makruh atau harus? (Maka dijawabnya) Maka adalah segala yang tersebut makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata Syeikh Ibnu Hajar tiada sah wasiatnya.”

[Kitab Furu’il Masa-il (المسائل فروع) juz 1, m/s 183]

Antara yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah amalan yang dibuat oleh orang ramai yang dinamakan kaffarah dan wahsyah iaitu berkumpul dan berhimpun serta menjamu makanan pada malam pertama selepas dikebumikan si mati, berhimpun dan menjamu makanan pada hari ketujuh, hari keempat puluh dan seumpamanya hukumnya makruh dan dicela oleh syara’.

Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari rahimahullah berkata: “Dan makruh lagi bid'ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang disukanya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala mereka yang diserunya memperkenankan seruannya.”

[Kitab Sabil Al-Muhtadin (المهتدين سبيل) juz 2, m/s 83]

Antara yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah hukumnya bid'ah dan makruh jika mengadakan kenduri selepas kematian (kenduri arwah) dan menjemput orang ramai menghadirinya sama ada jamuan itu sebelum si mati dikebumikan atau selepas dikebumikan. Juga hukumnya makruh dan bid'ah kepada sesiapa yang menghadiri jemputan tersebut.

Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatoni rahimahullah berkata: “Dan sunnah bagi jiran keluarga mayat dan orang yang berkenalan dengan keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun dan segala kerabatnya yang jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguhnyugguh akan mereka itu suruh mereka makan kerana mereka itu terkadang meninggal akan makan sebab sangat terkejut hati mereka itu..Dan makruh lagi bid'ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia, sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya. Dan setengah daripada yang qabihah lagi makruh mengerjakan dia barang yang dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kaffarah dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian itu..Adapun asal sunnah mensediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tatkala datang khabar kematian Ja'far bin Abu Talib radhiallahu ‘anhu pada perang mu'tah; “perbuat olehmu bagi keluarga Ja'far makanan maka sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.” [Kitab Bughyah At-Tullab (الطلاب بغية) juz 2, m/s 33-34]

Antara yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah disunnahkan kepada jiran ahli keluarga si mati, kawan-kawan, keluarga si mati dan kaum kerabat yang jauh menyediakan dan membawa makanan kepada ahli keluarga si mati sebagaimana yang disarankan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya makruh dan bid'ah jika ahli keluarga si mati menyediakan makanan dan menjemput orang ramai berhimpun dan menjamu makanan kepada mereka selepas pengebumian mayat, pada hari ketujuh, hari keempat puluh dan seumpamanya seperti yang disebutkan.

Banyak lagi pernyataan yang sama dapat kita lihat dalam kitab-kitab pondok yang lain seperti kitab Bahrul Madzi (الماذي بحر) juz 7, m/s 129-130, dan kitab Kasyful Litham (اللثام كشف) juz 1, m/s 85.

Sebagai tambahan dipetik kenyataan tokoh-tokoh semasa mazhab Asy-Syafi’ie iaitu Syeikh Mustafa Khin, Syeikh Mustafa Al-Bugha dan ‘Ali Asy-Syarbaji tentang kenduri arwah: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara yang lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya.” [Fiqh Al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam Asy-Syafi’ie (1/263), Damsyik: Dar al-Qalam]

Adat kebiasaan seperti menjemput, menghimpun orang ramai dan menjamu makanan kepada mereka oleh ahli keluarga si mati sebelum atau selepas pengebumian mayat telah menjadi agenda utama kepada sebahagian masyarakat kita selepas berlaku kematian. Adat yang telah lama bertapak ini perlu dilenyapkan kerana ia bertentangan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan kemasyhuran adat yang membebankan ini telah menenggelamkan ajaran sebenar Islam yang murni ini.

Segelintir rakan kita yang tidak peka dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sanggup mendakwa bahawa masalah ini adalah termasuk masalah yang remeh-temeh dan tidak perlu diperbahaskan. Persoalannya ialah, apakah perbelanjaan yang melibatkan beratus-ratus malahan beribu-ribu ringgit kepada tempat yang bid'ah, makruh bahkan haram menurut pendapat yang kuat dan masyhur dalam mazhab Asy-Syafi’ie itu sendiri termasuk perkara yang remeh-temeh?

Kita merasa aneh dan hairan apabila kebanyakan masyarakat bahkan lebih dukacita mereka yang terdiri dari golongan yang bergelar ustaz-ustaz, Tok Guru, pak lebai dan lain-lain menuduh dan melabelkan ‘wahabi’ atau kaum muda ke atas orang-orang yang menyebarkan pendapat-pendapat ulama-ulama agung silam yang mengatakan bid'ah dan makruh bahkan haram apabila ahli keluarga si mati menjemput orang ramai dan mengadakan perhimpunan serta menjamu makanan kepada mereka dan juga mengatakan bid'ah dan makruh bagi mereka yang menghadiri jemputan tersebut.

Ada juga di antara pensyarah-pensyarah agama dan pendakwah-pendakwah yang membela adat istiadat seperti ini dan mendakwa hukumnya adalah sunat bagi keluarga si mati membuat kenduri untuk si mati dengan menjamu makanan kepada orang ramai selepas majlis tahlil arwah diadakan. Mereka bukan sahaja menggalakkan masyarakat supaya meneruskan amalan tersebut, malahan juga menuduh mana-mana pihak yang mendedahkan hukum sebenar yang mana kebenarannya bertentangan dengan adat istiadat itu sebagai orang yang berjalan tanpa haluan atau orang yang tidak mempunyai ilmu yang cukup.

Jawapannya kami bukan mengeluarkan fatwa dan menciptakan hukum baru, tetapi kami hanya memaparkan dan mendedahkan ketetapan hukum yang telah diputuskan oleh para ulama mujtahidin mengenainya. Apakah mereka yang masih berpegang dengan adat istiadat tersebut mempunyai dalil-dalil yang tidak dijumpai oleh para ulama mujtahidin itu? Apakah hujah yang dipegang oleh mereka lebih kuat daripada hujah yang dipegang oleh para ulama mujtahidin tersebut?

Mengakhiri tulisan, adalah sangat diharapkan kepada masyarakat Islam di semua peringkat agar dapat bersama membasmi dan menghapuskan adat yang bid’ah dan menyusahkan bahkan membebankan masyarakat ini dengan menghidupkan sunnah yang sahih demi menjaga kesucian dan kemurnian ajaran Islam yang sebenar dari sebarang penambahan yang tidak pernah diizinkan oleh Allah dan RasulNya.

Daripada Abdullah bin Ja’far radhiallahu ‘anhu berkata; Apabila tiba berita kematian Ja’far bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli keluarga Ja’far (isteri-isteri dan anak-anak), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyedihkan) mereka.”

[Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dihasankan oleh At-Tirmidzi dan disahihkan oleh Al-Hakim]

Segala derma takziah yang diterima oleh keluarga si mati boleh diinfak atau dibelanjakan pada sedekah-sedekah jariah atas nama si mati seperti membina masjid, membangunkan sekolah-sekolah pendidikan Islam, pusat-pusat tahfiz Al-Quran dan sebagainya. Bahkan hal ini sangat jauh lebih baik dari melakukan perkara yang tidak disyari’atkan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang telah sempurna ini. Sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in.

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma berkata; Ibu Sa’ad bin ‘Ubadah radhiallahu ‘anhu telah meninggal dunia dan Sa’ad tidak berada di sisinya pada waktu itu, lalu dia mendatangi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan aku tidak berada di sisinya saat kematian itu, jika aku bersedekah sesuatu atas nama ibuku, apakah ia akan memberi manfaat kepadanya?” Baginda menjawab: “Ya.” Lalu berkata Sa’ad: “Sesungguhnya aku menjadikan Rasulullah sebagai saksi bahawa kebun kurmaku dan segala pokok yang ada di dalamnya ini adalah sedekah ke atas ibuku.” [Hadis Riwayat Al-Bukhari]

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata; Seorang lelaki telah bertanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya bapaku telah meninggal dunia dan dia meninggalkan harta dan tidak diwasiatkan, apakah bermanfaat baginya jika aku bersedekah dengan harta tersebut atas namanya?” Baginda menjawab: “Ya.” [Hadis Riwayat Muslim]

Wallahu A’lam.

diambil dari facebook.

0 comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala yang ada dalam hidupku...
Kusedari semua milikMu...
Ku hanya hambaMu yang berlumur dosa...

Tunjukkan aku jalan lurusMu...
Untuk menggapai SyurgaMu...
Terangiku dalam setiap langkah hidupku...

Kerana…
Kutahu…
Hanya Engkau…
Tuhanku…

Allahu Akbar...
Allah Maha Besar...
Ku memujaMu di setiap waktu...

Hanyalah padaMu...
Tempatku berteduh...
Memohon redha dan ampunanMu..

webstag.ram

book.preview

Men from Mars Women from Venus
by Dr. John Gray Ph.D

Once upon a time Martians and Venusians met, fell in love, and had happy relationships together because they respected and accepted their differences. Then they came to Earth and amnesia set in: they forgot they were from different planets.


Nuffnang

[ r.e.mind.er ]

Segala yang ada dalam hidupku...
Kusedari semua milikMu...
Ku hanya hambaMu yang bersalut dosa...

Tunjukkan aku jalan lurusMu...
Untuk menggapai SyurgaMu...
Terangiku dalam setiap langkah hidupku...

Kerana…
Kutahu…
Hanya Engkau…
Tuhanku…

Allahu Akbar...
Allah Maha Besar...
Ku memujaMu di setiap waktu...

Hanyalah padaMu...
Tempatku berteduh...
Memohon redha dan ampunanMu..

Followers